Bidang kajian Hortikultur

Hortikultur boleh dibahagikan kepada beberapa bidang pengkhususan.[2] Istilah digunakan untuk menerangkan pengkhususan ini terbit dari dahulu lagi berdasarkan penggunaan umum dan kadang-kala janggal dengan tatanama botani. Contohnya, sayuran dikelaskan sebagai tumbuhan herba dengan bahagian daripadanya dimakan mentah atau masak ketika hidangan. Buahan, untuk tujuan hortikultur, diterangkan sebagai tumbuhan yang lebih kurang seperti buahan sukulen atau ada kaitan dengan struktur botani selalunya dimakan sebagai pencuci mulut. Dengan definasi ini, tumbuhan seperti tomato, timun, dan labu dianggap sebagai sayur walaupun secara struktur botani ia dikelaskan sebagai buah.

Pomologi adalah antara bidang disiplin penting dalam hortikultur.

Sejak 60 tahun kebelakangan ini, pertanian, termasuklah hortikultur, banyak bergantung kepada sains dan teknologi untuk mengekalkan keuntungan pengeluaran. Bidang kajian saintifik hortikultur terbahagi kepada pelbagai sub-disiplin.

  • Pomologi didefinasikan sebagai cabang hortikultur berkaitan dengan buahan dan pokok. Pengeluaran buah termasuklah pokok buah; seperti epal, mangga, betik, dan oren, serta buah kecil; seperti strawberi, beri biru dan raspberi.
  • Olerikultur didefinasikan sebagai cabang hortikultur berkaitan dengan penghasilan sayur dan herba.
  • Florikultur pula ialah cabang hortikultur berkaitan dengan penghasilan tumbuhan di ladang atau rumah hijau untuk kegunaan bunga atau daunnya yang menarik.
  • Hortikultur persekitaran ialah cabang hortikultur berkaitan dengan penghasilan tumbuhan hiasan digunakan untuk persekitaran, sama ada dalam bangunan (indoor) atau luar bangunan (outdoor). Terdapat banyak ceraian untuk hortikultur persekitaran. Produksi nurseri melibatkan penanaman tumbuhan dengan pengurusan intensif untuk kegunaan di kawasan lain.
  • Hortikultur landskap melibatkan rekaan, pemasangan, dan penyelenggaraan persekitaran dalam dan luar bangunan. Hortikultur awam melibatkan rekaan dan penyelenggaraan arboretum, taman awam dan taman botani.

Hortikultur terapi melibatkan penggunaan tumbuhan hortikultur bagi meningkatkan keadaan kesihatan manusia sama ada fizikal, intelektual mahupun emosi. Ia juga melibatkan penggunaan tumbuhan di hospital dan tempat-tempat perubatan bagi mengurangkan kesakitan pesakit.

  • Hortikultur rumah melibatkan penggunaan tumbuhan hortikultur sebagai aktiviti rekreasi, secara umumnya oleh golongan bukan profesional seperti suri rumah.